singgah2...sila tggal jejak anda!! ^_^

tinta untuk semua

Wednesday, July 6, 2011

Nikmat disebalik erti kesabaran...

Pendahuluan

Sabar adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah. Malah segala ibadat itu didirikan di atas sifat sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menghadapi rintangan dan memerlukan pengorbanan.

Dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya.

Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:

* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang / teguh hati menghadapi cubaan atau musibah.

Tujuan sabar

Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran itu ialah:

Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadat dengan tenteram agar tercapai kesempurnaan dan matlamatnya. Jika tidak bersabar, pelbagai musibah menjadikan kita keluh-kesah, lalu kehilangan punca kekusutan dan pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat, khususnya. Kadang-kadang sampai tidak dapat meneruskannya.

Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan akhirat).

Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Antara firman Allah Taala mafhumnya: "Wahai oranag - orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara - perkara yang berkebajikan ), dan kuatkanlah kesabaran kamu ( lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan ), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah - daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya(mencapai kemenangan).(Surah Ali Imran3:200)

Apabila seseorang itu berjaya mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut, maka tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang besar terhindar daripada jurang maksiat.

Saiyidina Ali Abu Talib K.A.W pernah bermadah, maksudnya "Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa".

Dalam konteks menghadapi ujian (qadha') atau musibah, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya menanam sifat sabar dalam dirinya, sekiranya dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat dan hikmah musibah itu serta sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Ta'ala. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh. inilah tindakan wajar orang yang bersabar. kita tidak seharusnya marah atau kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu syaitan, kerana kita tidak tahu hikmat disebalik takdir itu. Misalnya pesakit adalah salah satu daripada jutaan ujian daripada Allah.

Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.

Kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang lebih besar, khususnya kepada si pesakit. Maka sekiranya penyakit itu akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Kita tidak tahu apakah hikmah dan hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan oleh Allah.

Justeru itu, kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan dan penuh kesabaran. Kaedah terbaik ialah berikhtiar mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai hamba Allah.

Di dalam mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Ta'ala yang Maha Berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian.

Bagaimana cara untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula adalah dengan sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebaikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.

Sebagaiman firman Allah dalam surah al-Asr, ada menyebutkan agar kita saling ingat-mengingati akan kebenaran dengan kesabaran

Secara keseluruhannya, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi yang paling mujarrab dan keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.

Wallahu a'lam


sumber : Muslim Diary

No comments:

jgn klik